Wednesday, January 2, 2013

Cerita Teladan Kanak-Kanak Sekolah Rendah

Cerita Teladan Kanak-Kanak Sekolah Rendah by dq 000
Cerita Teladan Kanak-Kanak Sekolah Rendah by dq 000 


Susu Kambing Kurus


Selama tiga hari menyembunyikan diri di Gua Hira’, bekalan makanan dihantar oleh anak Abu Bakar sendiri, iaitu Asma’. Selepa itu, Nabi Muhammad dan Abu Bakar meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Yathrib (Madinah)

.
Perjalanan mereka disertai dua orang rakan lain iaitu Amir bin Fuhairah dan Abdullah bin Uraiqith. Mereka berjalan merentasi padang pasir, gunung-ganang serta merempuh ribut pasir untuk meneruskan usaha menyebarkan Islam kepada penduduk di sana.


Pada suatu hari, ketika merentasi padang pasir, Nabi Muhammad ternampak sebuah khemah di tengah padang pasir. Mereka mendekatinya dengan niat mahu meminta bantuan atau membeli makanan.

 
Kedatangan mereka di sambut oleh seorang gembala kambing yang pemurah bernama Ummi Ma’bad,. Wanita ini bersama suaminya, Abu Ma’bad memang sengaja memasang khemah di tengah padang pasir itu untuk membantu para kafilah yang lalu lalang. Selalunya pasangan suami isteri ini akan dibayar sedikit wang oleh para kafilah atas bantuan yang diberi. 


Mereka tiba dalam keadaan letih, lapar dan dahaga. Mereka berhasrat untuk membeli daging dan kurma daripada wanita itu. Tetapi ketika itu suami Ummi Ma’bad sudah keluar mengembala kambing di samping mencari pelanggan dari kalangan kafilah yang lalu. Jadi, tiada apa-apa yang boleh Ummi Ma’bad jual kepada tetamunya yang sedang kelaparan itu.

 
Ketika itu, Ummi Ma’bad tidak mengenali lelaki dihadapannya ialah seorang Nabi, lelaki mulia yang menjadi sebutan seluruh tanah Arab ketika itu. Sangkanya lelaki itu sama seperti lelaki dari kafilah lain yang singgah meminta bantuan. Seketika kemudian, Nabi Muhammad terpandang seekor kambing kurus yang tertambat di tepi khemah.

 
“Apakah kambing itu mempunyai susu untuk diperah?” Nabi Muhammad bertanya. 


“Kambing itu terlalu lemah dan kurus, tuan. Tidak mungkin ia ada susu,” balas Ummi Ma’bad. Dia merasa hampa kerana gagal membantu tetamunya yang dalam kesusahan.


Sebaliknya Nabi membalas, “Tidak mengapa. Tetapi, bolehkah anda benarkan saya memerahnya?”


“Jika tuan fikir ia mempunyai susu, maka perahlah.” Ummi Ma’bad memberi kebenaran.


Nabi Muhammad mendekati kambing itu dan mengusapnya perlahan. Dia berdoa, membaca nama Allah dan mula memerah. Dengan izin Allah, susu kambing keluar dengan banyak. Lalu susu itu diisi ke dalam mangkuk. Kemudian, susu itu diberikan kepada Ummi Ma’bad dan tiga orang sahabatnya yang keletihan.


Selepas tiga orang sahabatnya kenyang, barulah giliran Nabi meminumnya. Kemudian dia memerah semangkuk lagi dan menyerahkan kepada Ummi Ma’bad sebagai bekalan. Sejurus kemudian, rombongan itu mengucapkan terima kasih lalu meneruskan perjalanan ke kota Madinah.

 
Tidak lama kemudian, suaminya, Abu Ma’bad pulang bersama sekawan kambingnya yang kurus kerana tidak cukup makanan. Selepas melangkah masuk ke dalam khemah, dia terperanjat melihat ada semangkuk susu segar. Dia kehairanan kerana pada pengetahuannya, semua kambingnya kurus kering dan kekurangan makanan. Tidak mungkin kambinnya boleh mngeluarkan susu sesegar itu.

 
Ummi Ma’bad menceritakan mengenai kedatangan empat orang lelaki Quraisy ke khemah mereka tadi. Dia menyatakan kagumnya dengan lelaki itu. Katanya, lelaki itu punya sepasang tangan yang cukup berkat kerana berjaya memerah susu daripada kambing yang kurus itu.


“Ceritakan bagaimana paras orang itu, Ummi Ma’bad,” pinta Abu Ma’bad.


“Dia seorang yang pembersih. Mempunyai wajah yang bercahaya dan tingkah laku yang sangat baik,” kata Ummi Ma’bad.


Kemudian dia menyambung, “Rupanya sangat cantik. Matanya hitam, bulu keningnya lebat, suaranya garau manakala tengkuknya panjang. Dia mempunyai janggut yang lebat dan betis yang panjang. Kulitnya pula kemerah-merahan serta bercelak.” Dia berhenti berbicara. Abu Ma’bad pula diam mendengarnya.
 

“Dia sangat tenang jika berdiam diri. Apabila bercakap, dia kelihatan hebat. Jika dilihat dari jauh, dia seorang yang amat cantik dan kelihatan cerah, manis dan bagus. Dia seorang yang terlalu sempurna, serta mempunyai teman-teman yang sayang kepadanya. Jika dia bercakap mereka mendengar dan menurut perintahnya.” Ummi Ma’bad memperincikan sifat lelaki yang ditemuinya.


Abu Ma’bad kagum mendengarnya. “Demi Allah, itulah lelaki Quraisy yang disebut-sebut di Mekah. Aku memang bercita-cita hendak mengikutnya. Jika aku ada peluang, aku akan lakukan!”

Mendengar kata-kata suaminya, Ummi Ma’bad tidak berlengah lagi. Dia menyiapkan barang-barang keperluan lalu berangkat ke Madinah mengikut jejak tetamunya tadi. Di sana, mereka memberikan taat setia dan menjadi pengikut Islam yang sejati.


Sejak itu, nama Ummi Ma’bad atau nama asalnya Atikah binti Khalid al-Khuzaiyah tercatat dalam sejarah Islam kerana bijak dan fasih dalam menerangkan sifat Nabi. Ungkapan yang digunakannya begitu halus, lembut, terperinci dan penuh berperasaan sekaligus membuktikan ketajaman akalnya.




0 komentar: